Dari sekolah ke sekolah

Salam.

 

Sejak dari zaman sekolah, saya ini bukannya pelajar yang pintar benar. Semasa berada di sekolah rendah, saya yakin jarang-jarang sekali teman sekelas menyedari kelibat saya di kelas 6 Alfa. Sering kali saya tidak datang sekolah dan juga ketinggalan dalam banyak benda. 2 minggu sebelum UPSR pun saya tidak mampu menghadirkan diri ke sekolah. Semestinya, tidak hadir dengan bersebab. Tetapi alhamdulillah, dengan rahmat dan kasih sayang Allah, keputusan UPSR saya tahun itu melayakkan saya menyambung peringkat sekolah menengah di sebuah sekolah berasrama penuh di Dungun, Terengganu.

 

Di Dungun pula, sekali lagi saya bukannya pelajar yang menyerlah dari segi pencapaian akademik. Keputusan akademik terlalu biasa, apatah lagi menerima penghormatan daripada pengetua. Fikiran saya berkecamuk sepanjang berada di situ. Jiwa kacau. Asyik mahu pulang rumah. Ah memang cengeng! Mungkin umur juga jadi satu faktor. Saya juga boleh lihat betapa mi dan abah sanggup berulang alik dari kampung ke Dungun tiap 2 minggu semata-mata mahu ambil hati saya supaya terus berada di situ. Sungguh terharu! Tiap kali cuti juga, mi dan abah pasti akan datang ambil saya. Sepanjang 3 tahun berada di situ, hanya dua kali sahaja saya naik bas pulang ke kampung. Itu pun atas ihsan seorang teman yang sanggup belanja saya tiket. Katanya, biar saya dapat merasa naik bas pulang ke kampung. Kalau ditanya tentang perasaan ketika itu, gembiranya memang tak terkata. Syok rupanya balik kampung dengan bas. Kesian, darat sungguh. Sebaik keputusan PMR diumumkan, 121 orang daripada 144 orang sixth batch berjaya memperoleh 8A. Itu tidak termasuk saya. Dapat B untuk Geografi. Sekali lagi terbukti, saya ini bukannya pelajar yang pintar benar.

 

Di Tingkatan 4, saya kembali menyambung belajar di sebuah lagi sekolah berasrama penuh di Wakaf Tengah, Terengganu. Inilah sekolah yang paling best boleh saya katakan! Rupanya Allah Yang Maha Baik itu mahu memberikan kegembiraan berganda di sekolah ini. Di sini jugalah, saya berpeluang merasa nikmat mendapat anugerah penghormatan pengetua. Itu pun bukannya setiap kali semester macam pelajar-pelajar cemerlang yang lain. Apapun, alhamdulillah. Ketika berada di situ, saya jadi jelas dengan apa yang saya mahu. Memandangkan profesion guru sudah menjadi minat saya sejak dulu lagi, saya pernah berhasrat mahu jadi guru subjek Kimia atau pun Matematik. Pada hari keputusan SPM diumumkan, guru Bahasa Inggeris saya, Puan Khairiah Abdullah pula menyarankan saya agar memilih TESL. Tidak pernah terlintas mahu ambil TESL sebelum ini. Lalu, saya mencuba nasib dengan memohon TESL dengan KPM, TESL UiTM, guru Matematik tajaan MARA, guru Kimia dan beberapa pilihan yang lain. Akhirnya, rezeki saya sudah tertulis dengan KPM. Maka bermulalah pengembaraan saya sebagai seorang guru.

 

Dan kini, sekali lagi saya kembali ke daerah Dungun untuk penempatan pertama. Dan saya sekarang diamanahkan untuk mengajar anak-anak Felda di sebuah sekolah menengah di sana. Tetapi saya lebih memilih untuk terus menetap di kampung saya. Jarak 50km dari Bukit Payong ini ke sekolah mengambil masa lebih kurang 50 minit. Untuk ke sekolah, saya perlu melepasi Ajil dan seterusnya ke Jalan Jerangau-Jabor. Saya tidak berkira sangat untuk berbelanja lebih untuk minyak dan servis kereta. Tetapi saya sedikit bimbang dengan keadaan jalan di situ. Berlubang-lubang, berbukit-bukau, bersimpang-siur (lenguh kaki asyik kena tukar gear), gelap, berkabus pada waktu pagi, lori angkut buah kelapa sawit keluar masuk, lembu-lembu bertebaran di tepi jalan. Itu belum termasuk dengan memandu ketika hujan. Hanya mereka yang pernah melalui jalan ini sahaja yang tahu akan keadaannya. Apa pun, saya bersyukur kerana masih boleh memandu untuk ke sekolah, tidak perlu mengharung sungai dan sebagainya. Mungkin bila sudah lama berulang-alik, boleh jadi secekap Jay Chou memandu seperti dalam filem Initial D. Ok, mengarut. Mohon doa agar saya ini selamat dan sihat-sihat sahaja. Terima kaseh.

 

Buat adek-beradek Sixthsenseku, moga kalian semua dipermudahkan segala urusan. Inilah realitinya. Percayalah, Allah itu sayang banyak-banyak pada kalian sebab pilih kalian untuk melalui semua ni. Ku tujukan ini buat kalian semua.

 

 

Hanya doa yang jadi pengikat. Rindu yang amat sangat.

 

* Cikgu = panggilan sepanjang hayat (Prof Sidek Baba)

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s