The Banjaran Hotsprings Retreat Part 2

Assalamualaikum.

Ini adalah kisah hari kedua kami berada di The Banjaran Hotsprings Retreat. Ada banyak aktiviti yang boleh kita buat di sini. Kami menginap di sini selama 3 hari 2 malam. Kalau 2 hari sahaja memang tidak cukup. Pada pagi hari kedua, kami bersarapan di The Pomelo, restoran yang terletak di sini. Semua makanan yang saya sempat rasa di sini sedap-sedap dan saya bagi 5 bintang untuk kualiti makanan dan perkhidmatan. Supercalifragilisticexpialidocious! Antara yang tak boleh lupa, kita boleh menikmati pemandangan pokok limau bali sambil bersarapan di situ. 

The Pomelo yang terletak bertentangan dengan Herbal Garden

Egg benedict. Ya Allah memang sangat sedap! Dua hari berturut-turut saya order yang iniπŸ˜‹πŸ˜‹

Yang ni pun memang sangat sedap! Beef fried kuew teowπŸ˜‹πŸ˜‹

Setelah kami selesai sarapan, tempat pertama yang kami singgah adalah Kolam Dr. Fish atau nama saintifiknya Garra Ruffa. Di sini, kita boleh buat spa kaki dan mujur tiada orang pada waktu pagi ni. Kami suami isteri asyik tergelak sahaja sebab geli bila ikan-ikan datang “urut” kaki. Huhu.

Kolam Dr. Fish

Dr. Fish minat kaki saiz 12 haha πŸ˜‚πŸ˜‚

Di sebelah Kolam Dr. Fish, terletak sebuah Reflexology Pool. Nampak macam biasa tetapi sakit juga bila cuba berjalan dalam kolam ni.

Reflexology pool yang tidak sesuai untuk orang yang ada Plantar Fasciitis






Kemudiannya, kami menuju ke Steam Cave. Ini adalah pengalaman kali pertama saya masuk dalam gua. Gua ini dipenuhi dengan wap-wap dan suhu kat dalam ni agak tinggi. Kalau duduk lama-lama, memang boleh basah habis baju. Kerusi dan meja juga disediakan di dalam gua bagi yang ingin bersantai di Steam Cave.

Steam Cave. Air kat dalam gua menggelegak panas

Pemandangan di luar Steam Cave

Seterusnya, kami ke Meditation Cave. Untuk ke sini, kami singgah sebentar di gymnaseum. Sekadar melihat apa yang ada dalam tu. Di The Banjaran Hotsprings Retreat juga terdapat Kelas Yoga pada pukul 5.00 petang. Kami tidak pernah menyertai mana-mana kelas yoga sepanjang tiga hari di sini. Meditation Cave agak berbeza dengan Steam Cave disebabkan oleh suasananya yang lebih nyaman dan sejuk. Boleh rehat dan baring di sini kalau tiada orang. Tempat rehat yang selesa disediakan di sini. Lupa nak ambil gambar Meditation Cave ni.

Di bawah ini merupakan Hot Dipping Pot. Ada beberapa kolam di sini dengan suhu yang berbeza-beza. Suhu yang paling rendah ialah 40 darjah celsius. Kolam kat sini lebih kurang macam jakuzzi dalam villa tetapi dengan suhu yang lebih tinggi. Tempat ini agak terbuka untuk para muslimah.

Hot Dipping Pot 

Di sebelah petang pula, kami singgah di Foods Project Cafe. Di sini, kebanyakan menunya Western food. Makanan di sini boleh tahan sedap.

Pemandangan dari luar cafe

Menarik!

Terkejut bila tengok serving size yang agak besar. Tapau bawa balik makan kat villa pula

Sebaik sampai di bilik, sekali lagi kami diberikan complimentary selamat malam. Kali ni macam pastri berperisa bawang.

Sekian.

The Banjaran Hotsprings Retreat Part 1

Assalamualaikum.

Pada cuti Deepavali yang lepas, saya berkesempatan bercuti di Ipoh, Perak. Kali ini, suami memilih untuk menginap di The Banjaran Hotsprings Retreat. Saya tidak pernah tahu tentang tempat ini sebelum ini. Suami saya tertarik dengan tempat ini setelah terjumpa review di internet.

The Banjaran Hotsprings Retreat merupakan satu tempat penginapan yang sangat cantik dan sesuai untuk a short weekend getaway. Tempatnya dikelilingi oleh kehijauan yang menyejukkan mata di samping mampu menenangkan fikiran setelah penat bekerja.


Pemandangan dari tempat parkir kereta


Laluan menuju ke reception



Ini adalah pemandangan dari lobby. Sementara menunggu kunci, kami disediakan tuala sejuk dan welcome drink. Saya pun tak pasti air apa tapi ada rasa halia dan serai. Sangat menyegarkan. Setelah dapat kunci bilik, tetamu biasanya akan diiring untuk memukul gong. Kami tak pukul gong dan terus dibawa ke villa dengan menaiki buggy.


Masa naik buggy, kami diberi kad jemputan selamat datang dan dua spa voucher. Kami ambil keputusan untuk tidak singgah di spa sebab semuanya female therapists.

Di The Banjaran Hotsprings Retreat, terdapat 25 buah villa yang terdiri daripada Garden Villa dan Water Villa.

Kami menginap di Water Villa. Saiznya lebih kecil dan harganya lebih murah berbanding Garden Villa. Di The Banjaran Hotsprings Retreat, tetamu tidak boleh bawa budak berumur 12 tahun ke bawah memandangkan polisi tempat ini sangat menekankan privasi.


Ruang patio yang terbuka. Living area plus dining area


Private swimming pool and jacuzzi


Pemandangan dari balkoni Water Villa



Laluan ke jakuzzi


Kami dihidangkan limau bali. Air sejuk pula dihidang dalam labu sayung. 
Setelah selesai solat, kami berjalan-jalan di sekitar bandar Ipoh dan singgah makan di Restoran Kampung Ipoh yang popular di sini.

Grilled salmon with lemon sauce
Sebaik kami sampai di villa pada waktu malam, kami dihidangkan lagi dengan biskut sebagai complimentary.

Sekian.

Galau

Assalamualaikum.

Minggu lepas bermulalah Peperiksaan Percubaan untuk calon SPM 2016. Pejam celik pejam celik terasa cepatnya masa berlalu tahun ni. Rasa macam baru je semalam masuk tahun baru. SPM dah tak lama dan kurang dari tiga bulan dari sekarang.

Memerhatikan calon-calon sedang tekun menjawab soalan, hati terasa sangat sayu memandang pada kerusi kosong yang paling hadapan. Pelajar yang sepatutnya berada di situ telah kembali ke rahmatullah pada bulan Ramadhan yang lepas. Sebaik terima khabar kematian, saya terus sebak memandangkan arwah seorang pelajar yang baik dan jauh di sudut kecil hati saya telah saya halalkan segala ilmu yang saya ajarkan kepada arwah.

Menghadapi pelbagai kerenah pelajar menuntut 1001 kesabaran. Ada pelajar yang menyenangkan hati dan ada juga pelajar yang menyesakkan dada. Pernah satu ketika, saya berasa sangat kecewa dengan kerenah seorang pelajar lelaki. Pernah rasa sangat marah sampai ter’menangis’. Lagi teruk, pelajar ini tahu saya marah dengan sikap dia. Kecewa dengan kelakuan dia tapi dia tak pernah berubah.

Sampai satu kemuncak, sebaik saya menjejakkan kaki di tanah suci, Allah tuntunkan hati saya untuk teringat pada dia. Sepanjang di sana juga, berkali-kali saya sebut namanya di depan kaabah. Mohon Allah berikan hidayah, moga Allah bimbing perjalanan hidupnya yang terumbang-ambing dengan masalah keluarga dan kemelut diri sendiri. Alhamdulillah, selepas saya pulang dari sana, Allah telah lembutkan hatinya. Dia datang mohon maaf dengan saya dan sikit demi sedikit dia berubah.

Alhamdulillah, selepas itu dia mula disenangi dan sekarang telah pun bekerja. Hanya satu harapan, semoga pelajar saya ini ketemu apa yang dicari dalam hidup dia dan sentiasa dalam rahmat Allah selalu.

Memang betul kata-kata cikgu Sejarah saya dulu, Cikgu Tajun Niswa bt Tajul Ariffin. Pelajar yang nakal inilah yang lebih mengusik jiwa dan ‘lebih kita ingat’ dalam doa.

Berdoalah. Berdoalah.

Hanya Allah yang Maha Kuasa.

Kembara Bumi Barakah

Assalamualaikum.
Lebih kurang setahun yang lepas, alhamdulillah saya dan suami berpeluang menunaikan ibadah umrah. Satu pengalaman berharga yang Allah anugerahkan buat kami suami isteri. Masih ingat lagi pada bulan Ramadhan tahun 2014, suami ada menyuarakan hasrat untuk membawa saya ke Mekah. Di bulan yang baik seperti itu, saya rasa sangat terkesan apabila Allah telah menggerakkan hati suami untuk ke sana. Kami mula membuat persiapan beberapa bulan sebelum itu bagi melancarkan perjalanan ibadah di sana. Di sini, saya ingin kongsikan sedikit tips sebelum berangkat:
1. Isu yang pertama yang terlintas di fikiran saya masa itu adalah duit. Duit perlu cukup dan perlu ada simpanan sebaik pulang ke Malaysia. Saya bertanya pada suami, “Cukup ke duit kita nak ke sana?” Walaupun kami agak muda dan bukannya mempunyai simpanan yang banyak, Allah telah cukupkan segala-galanya untuk kami. MashaAllah memang sangat ‘aneh’! Saya teringat yang saya selalu minta saudara-mara dan kenalan yang pernah ke sana untuk doakan saya dan suami juga dapat jejakkan kaki di sana. Mungkin berkat doa mereka, Allah telah ‘menjemput’ saya dan suami tanpa saya sangka.
2. Bila sudah pasang niat, mestilah seiring dengan ilmu. Kami mula membeli beberapa buah buku tetapi yang paling terbaik , “Umrah Super A”! Buku ini memang sangat membantu perjalanan kami memandangkan kisah yang digarapkan serupa dengan kami yang singgah di Madinah terlebih dahulu. Buku ini ada menyentuh rukun umrah, wajib dan sunat umrah dan juga perkara-perkara yang membatalkan umrah. Apa yang menarik, buku ini ditulis melalui penceritaan kembara suami isteri yang melalui satu persatu cabaran sepanjang di sana. Saya secara tidak langsung cuba meletakkan saya dan suami dalam situasi seperti dalam cerita tersebut. Memang sangat terkesan!

IMG_0403

3. Hafal doa. Satu perkara yang saya agak terkilan adalah saya tidak sempat menghafal doa-doa khas semasa tawaf dan saie. Saya ambil peluang untuk hafal doa-doa ini semasa berada di Madinah tetapi tidak mampu hafal semuanya atas kekangan masa. Terdapat banyak doa khusus yang amat digalakkan untuk menghafal seperti doa ketika melihat kaabah, doa minum air zamzam, doa masuk Kota Mekah dan Madinah, doa masuk ke Raudhah dan sebagainya. Kalau dihayati makna-makna doa ini, rata-ratanya berfokuskan kesejahteraan di akhirat sana.

4. Solat Hajat hari-hari. Bila sudah nekad, dirikan Solat Hajat mohon Allah mudahkan perjalanan ke sana. Lahirkan kesyukuran kerana Allah mengerakkan hati kita untuk ke sana. Saya masih ingat lagi, sehari sebelum berlepas, kami masih belum memberi sebarang khabar samada visa diluluskan atau tidak. Kami hanya membuat persiapan yang termampu dan terus ke KLIA sebaik dimaklumkan oleh pihak agen. Semasa berada di Madinah pun masih berdebar. Saya berasa sangat risau kiranya dengan takdir Allah, saya hanya mampu sampai di Madinah. Tetapi Alhamdulillah Allah mudahkan bagi kami.
5. Berubah. Ini yang paling penting. Usaha untuk berubah ke arah yang lebih baik. Kena selalu ingatkan diri, kita ini BUKAN SESIAPA pun dan tidak mungkin mampu menjejakkan kaki ke sana kalau bukan dengan rahmat dan kasih sayang Allah. Berubah. Jaga yang wajib dan ‘top-up’ dengan amalan sunat.
6. Selesaikan hutang. Jangan sesekali pandang remeh tentang perkara ini. Langsaikan dahulu hutang dengan kawan-kawan, saudara-mara atau sesiapa sahaja. Bukan hutang wang sahaja bahkan hutang janji sekali. Allah telah berfirman dalam Surah Al-Mukminun: 8. Beruntunglah orang yang beriman dan mereka itu adalah orang yang memelihara amanat dan janji-janji mereka. Selesaikan urusan di tempat kerja dulu sebaiknya sebelum berangkat ke sana.
7. Beriadah. Biasakan diri dengan sedikit senaman dan cuba tingkatkan stamina sebaik mungkin. Kita akan memerlukan stamina ini semasa mengerjakan ibadah saie dan bagi mereka yang menginap di hotel yang agak jauh, berjalan kaki ke masjid adalah satu perkara yang biasa.
Sekian dahulu untuk kali ini.

 

Mencari Tuhan

Salam.

Hidup ini tidak lekang dari mehnah dan cubaan

Terasa himpit oleh kekangan masa dan ruang

Sibuk dengan urusan dunia hingga tidak luangkan masa untuk akhirat

Al-Quran sepi. Tafsir jauh sekali

Tidur malam tidak lena fikirkan urusan esok paginya

Bangun awal bukan untuk tahajud tapi untuk siapkan kerja

Allah! Ruginya!

Tapi bila sikit masa diluangkan

Untuk berbicara denganNya Sang Pencinta

Untuk merintih padaNya yang tidak jemu-jemu mendengar

Untuk menyelami ayat-ayat cintaNya

Urusan terasa mudah dan dilapangkan

Satu-satu keajaiban menjengah

Di celah-celah kesempitan

DOA. DOA. DOA. Pada Dia.

  
“Jadikan kami hambaMu yang tidak putus-putus berdoa padaMu Ya Rabbul Izzati”

p/s: Lalu apa tujuan keberadaanku di dunia ini?

Salam Nisfu Shaaban

Malam ni malam Nisfu Shaaban. 

Malam di mana doa diangkat ke langit dan penuh mustajab. 

Dulu saya kira banyak hajat yang ingin diluahkan pada Allah.

Rata-ratanya hajat yang bersifat “keduniaan”.

Mahu itu mahu ini. Dunia.

Satu ketika persepsi berubah.

Bila mata ini menatap rumah Allah.

Bila Allah izinkan diri yang hina-dina ini solat di Hijr Ismail.

Dalam lautan manusia yang saling menolak.

Dalam tenangnya angin malam. Tenang luar biasa.

Rabbana aatina fiddunya hasanah wafil akhirati hasanah.

Di rukun Yamani diulang-ulang.

Allahu rabbi! Sungguh bermakna rupanya doa ini!

Tidak semua yang dihajati di dunia ini kita dapat.

Sebab Allah lebih tahu.

Mana yang lebih baik untuk kita.

Yang pasti akhirat itu kekal. Itulah sebaik-sebaik hajat.

  

Tips untuk adik-adik

Assalamualaikum.

Entri ini ditulis untuk adik-adik di luar sana yang masih di bangku sekolah atau di mana-mana pusat pengajian. Jadi saya akan membahasakan diri ini, “akak”. Hehe. Sebagai perkongsian tentang persediaan hidup pada masa hadapan.

************************************************************

Kadang-kadang akak rasa kecewa dengan budak sekolah zaman sekarang. Akak sebagai cikgu berkali-kali berpesan dalam kelas,

“Zaman belajar jangan sibuk nak bercinta.”

Belajarlah betul-betul. Usaha betul-betul sampai puas hati. Alhamdulillah, akak dulu tak pernah bercinta zaman sekolah. Akak bersyukur Allah melindungi akak daripada perkara macam ni. Kesian dekat mak ayah di kampung dik kalau kita sia-siakan amanat mereka. Banyak peluang dik kalau adik cemerlang dalam peperiksaan. Bila nasib adik baik, adik dapat tajaan mana-mana untuk belajar. Dah tak perlu fikir nak bayar pinjaman bila dah masuk alam pekerjaan nanti. Macam akak dan suami lega tidak terbeban dengan sebarang pinjaman pendidikan. Sekurang-kurangnya duit gaji boleh buat simpanan di hujung bulan.

Satu lagi perkara tidak sihat yang akak perhatikan sesetengah orang dalam masyarakat kita ialah budaya biar papa asal bergaya. Beli kereta mahal-mahal, barang-barang berjenama, gajet canggih yang mencecah ribuan ringgit walaupun tak mampu. Akak masih ingat masa akak kat Wellington dulu. Akak bekerja siang dan malam sebagai “housekeeper” dekat motel untuk kumpul down payment kereta. Masa itu, bolehlah bekerja siang malam sebab cuti musim panas. Mak akak kat kampung pesan suruh beli Viva bila dah balik Malaysia. Akak tak kenal pun kereta Viva yang mana satu. Akak cuma target yang affordable bagi akak. Lagi murah lagi bagus. Akhirnya, akak pakai Viva sampai sekarang πŸ™‚ Bayar bulanan pun sikit dan siap boleh buat simpanan lagi.

Bila dah dapat gaji, jangan lupa pada mak dan ayah. InshaALLAH berkat rezeki bila diamalkan. Buat bajet siap-siap untuk perbelanjaan bulanan supaya adik nampak cash flow adik. Yang penting, adik mesti ada simpanan bulanan. Buat potongan Tabung Haji siap-siap. Tak kisahlah berapa nilainya. Sikit atau banyak yang penting ada. Bila dah buat potongan ke Tabung Haji, inshaALLAH itu sudah selangkah ke arah menunaikan ibadah haji. Insurans atau medical card mesti ada sebab malang tak berbau. Usah dibazirkan duit beli barang-barang yang tak penting. Akak ni selagi handphone tak rosak, selagi tu akak guna. Handbag pun ada dua je. Kasut atau selipar pun setahun sekali je akak beli. Untung sebenarnya suami akak sebab akak tak boros kat situ. Eh, tertukar topik pulak huhu. Lagi satu, zakat pendapatan jangan lupa bayar ye.

Bila dah ada simpanan, mudah sikit adik nak merancang untuk belanja walimah pula. Tak perlu buat pinjaman apa semua. Lagipun tak seronok pulak kalau nak kahwin tapi berhutang sana sini. Sebab tu kena rancang awal-awal lagi. Akak dulu walaupun tak tahu nak kahwin dengan siapa dan bila, akak dah buat simpanan siap-siap. Niat tak nak menyusahkan mak dan ayah. Belanja walimah tak perlu berlebihan. Yang penting mengikut syariat dan berkat.

Bila dah stabil sikit dan simpanan pun dah makin bertambah, bolehlah mula fikir untuk beli rumah atau tanah. Sepatutnya ini yang jadi prioriti berbanding daripada membeli kereta yang mahal-mahal, barang-barang berjenama yang kadang-kadang kita sendiri pun tak pandai nak sebut. Rumah dan tanahlah aset yang menjanjikan pulangan yang lebih lumayan pada masa hadapan. Tambahan pula, rumah sekarang harganya sudah naik melambung. Hidup zaman sekarang memang mencabar. Oleh itu, rancanglah kewangan sejak dari awal lagi.

Itulah sedikit sebanyak dari akak. Minta maaf kalau akak membebel banyak sangat sebab cikgu memang dah biasa macam tu. Huhu.

Untuk tips yang terakhir…

IMG_0618.JPG

Sekian. Salam sayang.