Salam.
Sekadar refleksi diri untuk apa yang berlaku sepanjang tahun 2011.
Januari
Melalui kehidupan sebagai seorang pengganggur. Menunggu-nunggu kiriman surat penempatan dengan penuh tanda tanya. Untuk memanfaatkan ‘cuti’ sementara ini, masa sebahagiannya diluangkan dengan membaca buku dan surat khabar. Peristiwa bulan Januari yang sangat menarik minat saya ialah tercetusnya Revolusi Bunga Melur di Tunisia. Mana-mana rakyat pun akan meluat dengan pemimpin negara seperti Ben Ali yang penuh dengan korupsi dan isterinya, Leila Ali yang lebih sudu daripada kuah.
Februari
Kesan domino merebak ke Bumi Anbiya’ Mesir. Bulan yang menyaksikan kejatuhan rejim Hosni Mubarak yang tidak mubarak. Tunggulah Hosni! Hukuman dan pengadilan Allah sedang menantimu di akhirat sana. Atas dosa-dosamu pada rakyat Mesir dan anak-anak Palestin. Yuk doakan yang baik-baik untuk Mesir. Gempa bumi di Christchurch, Wellington juga sangat meruntun hati. Pernah berada di Christchurch selama 2 kali dan masih tertanya-tanya adakah masih wujud Kedai Cenderahati murah Three Floor di sana. Christchurch, sebuah tempat wajib lawat di New Zealand dan gempa bumi berlaku pada ulang tahun kelahiran saya.T-T
Mac
Dunia sekali lagi dikejutkan lagi dengan peristiwa Tsunami di Jepun. Siapa-siapa sahaja yang melihatnya pasti akan mengalirkan air mata. Tertarik dengan satu kenyataan yang penuh kontroversi yang dikeluarkan oleh seorang pemimpin di sana. Beliau bilang, salah satu sebab bencana ini berlaku kerana orang muda sudah mula tidak sayang pada orang tua. Beliau juga sudah memohon maaf atas kenyataan tersebut yang telah mengguriskan hati banyak pihak. Pernah tanya diri sendiri, bagaimana layanan terhadap ibu bapa kita? Apapun, selamat bangkit lagi, Jepun!
April
Masuk dua bulan berulang alik dari Bukit Payong ke sekolah. Tiap-tiap hari mengembara sejauh 100km pergi dan balik. Sampai tertanya-tanya, sekolah-sekolah rendah sepanjang perjalanan ini beroperasi atau tidak. Lengang. Sunyi. Mana tidaknya bertolak seawal 6.15 pagi dan akan tiba di rumah paling awal pukul 4. Kalau ada program petang di sekolah, sampai rumah pukul 6 atau 7. Pergi ke sekolah bertemankan radio IKIM dan pulang pula bertemankan stesen Suria.fm. Adik saya bilang ini berbeda 180 darjah.
Mei
Menghadiri Majlis Konvokesyen di IPBA setelah berhempas-pulas selama hampir 6 tahun untuk memegang ijazah TESL ini. Kegembiraan ini juga dikongsi dengan 5 adek-beradek yang lain. Berasa sangat bersyukur walaupun tidak mempunyai ramai kawan, kawan-kawan yang sedikit ini yang sentiasa berada di sisi susah dan senang. Terima kaseh semua!
Jun
Terpilih untuk menghadiri Persidangan Malaysian English Language Teaching Association (MELTA) di bawah tajaan penuh pihak sekolah. RM300++ seorang. Sebuah persidangan yang berstrategikan ceramah, pembentangan dan perbengkelan. Persidangan ini banyak memberi saya idea-idea baru yang boleh digunakan untuk membaikpulih strategi pengajaran Bahasa Inggeris saya dalam kelas. Melihat penceramah-penceramah yang hebat dari dalam dan luar negara membuatkan saya terasa sangat bersemangat untuk sambung belajar lagi. InshaAllah, sambung belajar lagi satu hari nanti. Mahu jadi seorang hamba Allah yang menyumbang. Dengan izin Allah. Ameen.
Julai
Semakin serius memikirkan pengurusan kewangan. Mula mengambil pakej insurans dengan tujuan kesejahteraan hidup. Ejen jual insurans bagitahu, dia akan bagi saya hadiah istimewa kalau saya mendirikan rumahtangga pada usia 26 tahun. Wah hadiah kahwin. InshaAllah, kalau udah bertemu jodoh. Satu lagi, jom kumpul duit beli dinar atau dirham! Oh ya, daftar haji belum?
Ogos
Menyambut Ramadhan yang pertama sebagai seorang yang bekerjaya. Memang lain benar rasanya dengan Ramadhan ketika masih belajar. Diharap, Ramadhan pada masa yang akan datang dapat dimanfaatkan sepenuhnya. Dan Alhamdulillah juga, akhirnya dipanggil untuk menghadiri temuduga SPP untuk urusan pelantikan. Oh yeah, akhirnya.
September – Oktober
Apa ya?
November
Menghadiri mesyuarat penyelarasan pemeriksaan tempatan yang pertama. Dengan kata mudah, dilantik jadi pemeriksa Kertas Bahasa Inggeris SPM. Cuti sekolah diluangkan dengan menanda beratus-ratus skrip jawapan dan Alhamdulillah segalanya dipermudahkan. Terima kaseh kepada Ketua Pasukan yang banyak membantu orang-orang baru seperti kami. Alhamdulillah juga, telah secara rasminya dilantik jawatan secara sah. Diriku seorang cikgu.:)
Disember
Menghadiri taklimat Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) di sekolah. Rasa-rasanya saya seorang je kot antara teman-teman seangkatan yang memilih pencen pada usia 58 tahun. Rata-rata pilih 60. Memang kagumlah. Duit bonus akhir tahun pula dihabiskan untuk pembaharuan cukai jalan dan insurans untuk kereta yang sudah masuk usia 2 tahun. Tayar kereta juga telah ditukar kerana hampir pecah. Ralat sungguh, macammana boleh tak perasan? Terima kaseh Ya Allah kerana masih bagi peluang untuk hidup. Walau berulang-alik ke Dungun.
Satu lagi perubahan besar untuk tahun hadapan. Secara rasminya, saya telah dilantik menjadi warden asrama. ‘Senang’ sahaja nak ‘jadi’ warden. Asal cukup dua syarat, paling ‘adik’ dan bujang. Hati ini kering. Mungkin ini antara takdir Allah yang terindah buat saya. Kia Kaha, Diana! InshaAllah, rezeki Allah yang lagi besar menanti tiba! Ameen Ya Robb!
* Mohon doa untuk temuduga saya Januari ini! Terima kaseh! Moga yang baik juga untuk kalian!





